Syaikh Mustafa Sa‘id al-Khin

Nama penuhnya ialah Mustafa bin Sa‘id bin Mahmud al-Khin al-Syafi’i al-Maydani al-Damasyqi. Beliau dilahirkan pada tahun 1922M. Bapanya Sa‘id al-Khin adalah penghulu di daerah Maydan, Damsyik dan Mustafa adalah anak ke 11 daripada 18 orang adik beradik. Pada usia lapan tahun beliau telah memasuki sekolah peringkat rendah dengan menghafal al-Quran dan kemudian memasuki sekolah al-Jam‘iyyah al-Ghara’ dan guru besarnya ialah Muhammad Hasan Habannakah. Pada masa ini, terserlah kecerdikannya dan beliau belajar matematik daripada guru khas yang mengajarnya. Pada masa tahun 1931, beliau mula mengikuti bapanya untuk belajar halaqah yang dikendalikan oleh Hasan Habannakah di Masjid Manjak. Hasan Habannakah mengajar di masjid tersebut kepada orang ramai selepas waktu Isya’ dan kepada pelajar pada waktu pagi sehingga Zuhur. Di sini gurunya Husain Khitab mengenali kecerdikannya kerana dapat menghafal 50 hadith dalam satu hari. Lalu gurunya berpesan kepada keluarga Mustafa agar memberi perhatian kepada pendidikan kepadanya. (Mahyuddin Dib Mistu, 2001, hal. 14) Pada mulanya beliau belajar bersama-sama dengan orang tua selepas solat Isya’ tetapi setelah mengetahui minat dan kecerdikan maka ia telah memasuki sekolah pada waktu pagi yang dikendalikan oleh Hassan Habannakah.

Beliau meneruskan pengajian di Maahad Tawjiyyah al-Islami bertempat di Masjid Manjak. Maahad ini merupakan sekolah terbuka yang tidak terikat dengan masa tertentu atau sijil. Antara rakan yang belajar bersamanya seperti Abdul Rahman Hasan Habannakah dan Muhamad Hamawi. Pada peringkat ini, beliau mendapat didikan terus daripada Hasan Habannakah dengan belajar feqah, hadith, tafsir dan lain-lain. Pada malam Jumaat mereka belajar sirah dari kitab al-Syifa’ karangan Kadi ‘Iyad. Pada hari Jumaat, mereka bertukar-tukar untuk memberi khutbah di masjid di sekitar Maydan dan khutbah itu ditulis oleh mereka sendiri. Ini memberi pengalaman dan mendidik sehingga menjadi pengkhutbah yang memberi kesan kepada pendengar. (Mahyuddin Dib Mistu, 2001, hal. 20)

Di Maahad ini juga, guru mereka Hassan Habannakah mengalakkan mereka untuk menziarahi para ulamak seperti Badaruddin al-Hasani, Ali al-Duqr, Sa‘id al-Burhani dan lain-lain. Ulamak-ulamak tersebut telah memberi kesan kepada pembentukan peribadi dan kerohanian jiwanya. Pada usia 20 tahun, beliau telah mengajar di Maahad al-Tawjiyyah al-Islamiah di Masjid Manjak dalam subjek Matematik pada peringkat rendah. Beliau juga mengajar subjek karangan (al-Insya’), nahu dan ulum syariah. (Mahyuddin Dib Mistu, 2001, hal. 31)

Pada tahun 1949, beliau memasuki al-Azhar kerana pihak Kementerian Pendidikan Syria memerlukan guru-guru untuk pendidikan Islam. Oleh itu, beberapa pelajar Hasan Habnnakah telah terpilih mengikuti dan menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda. Beliau memasuki al-Azhar pada tahun ketiga dan bergraduan pada tahun 1952. Setelah memperolehi ijazah, beliau berkhidmat sebagai guru pendidikan Islam di Halab selama dua tahun. Kemudian beliau kembali ke Damsyik dan menjadi guru di Maktab perguruan. Di samping itu, beliau menjadi mengajar beberapa subjek di Universiti Damsyik iaitu dari tahun 1955-1962. Pada tahun 1962 sehingga 1966, beliau mengajar di Universiti Imam Muhammad bin Saud di Riyadh. Setelah itu, kembali ke Damsyik dan menjadi guru sehinggalah beliau menyambung pelajaran ke peringkat Ph.D di al-Azhar. Dalam bidang pendidikan, Mustafa telah memberi sumbangan kepada tiga bidang iaitu dalam membuat silibus pendidikan, membuat buku-buku teks dan membuat soalan peperiksaan. Mustafa telah membuat sukatan subjek ulum syariah bagi sekolah menengah agama di bawah kementerian pendidikan. Sukatan tersebut masih digunakan sehingga sekarang. Beliau juga membuat sukatan pada peringkat rendah dan menengah di Maahad Abu Nur.

Beliau juga bertanggungjawab membuat buku-buku teks dan telah mengarang 20 buah buku teks berkaitan dengan akidah, tafsir dan feqah al-Syafi’i. Beliau juga merupakan ketua lujnah pembuat soalan bagi peringkat Kementerian Pendidikan Syria. Al-Azhar telah membuat keputusan bahawa graduan dari kuliah-kuliah di al-Azhar yang telah berpengalaman mengajar lima tahun di peringkat universiti, adalah layak untuk mendaftar untuk membuat Ph.D. Mustafa telah mendaftar Ph.D dengan tajuk “Kesan Perbezaan kaedah-kaedah usul dalam perbezaan pandangan para fuqaha” dan berjaya memperolehi Ph.D pada tahun 1971.

Setelah memperolehi Ph.D, beliau menjadi pensyarah dan ketua Jabatan Akidah di Universiti Damsyik. Di samping itu, beliau mengajar subjek pedagogi pendidikan Islam di Fakulti Syariah sehingga pencen pada tahun 1983. Beliau juga telah membuat buku teks pada peringkat universiti iaitu tafsir untuk tahun ketiga, Feqah Muamalat untuk tahun empat dan Asas-Asas Akidah untuk tahun dua. (Mahyuddin Dib Mistu,2001, hal. 45) Setelah pencen, beliau pergi ke Arab Saudi dan menjadi pensyarah di Fakulti Syariah di Universiti Imam Muhamad Saud dan kemudian dilantik sebagai professor di Fakulti Pendidikan.

Semasa berada di Arab Saudi iaitu dari tahun 1984 sehingga tahun 1992, beliau telah menyelia pelajar Ph.D dan juga menjadi pemeriksa pada peringkat tersebut. Sejak tahun 1993, beliau mengajar di peringkat Tinggi di Maahad Abu Nur, peringkat tinggi merupakan program berkembar dengan Universiti Ummu Darman, Sudan. Di samping itu, beliau mengajar di Maahad Fatah, Damsyik dalam subjek Usul Fiqh.

Beliau juga mengajar di masjid-masjid di waktu pagi dan petang. (Mahyuddin Dib Mistu,2001, hal. 45) Beliau meninggal dunia pada 23 Muharram 1429 bersamaan 2 Februari 2008 pada di masjid Hasan , Maydan, Damsyik ketika berusia 88 tahun. Beliau meninggal selepas solat Jumaat di masjid tersebut dan dikebumikan pada hari berikutnya. (www.alukah.net, tarikh akses 18 September 2009) Pada 9 Februari 2008, Maahad Fatah al-Islami telah mengadakan majlis Ta’bin kepada beliau yang dihadiri oleh ulamak-ulamak seperti Wahbah al-Zuhaili, Abdul Karim Rajih, Nurudin Atar, Hisyam al-Burhani dan Abdul Fatah Bazam. (www.al-fatihonline.com, tarikh akses 18 September 2009) (pena-mylife.blogspot.com)

Bagikan Artikel Ini Ke